Rabu, 25 Disember 2013

Tahun Barang Naik 2014


Tahun 2014 merupakan Tahun Barang Naik. Musibahnya tetap dirasai oleh penduduk Kampung Tok Kah yang puratanya bekerja sebagai petani. Antara jenis pekerjaan popular ialah sebagai penoreh getah, penanam kelapa sawit dan sayuran/buahan . Dari segi sejarah, Kampung Tok Kah pernah dikenali sebagai 'anak emas Umno." Malangnya, pembangunan sangat lembab melanda. 

Masjid Kampung Tok Kah

Masjid di Kampung Tok Kah

Selasa, 24 Disember 2013

Kenderaan Pengangkutan

kenderaan pengangkutan awal digunakan oleh penduduk Kampung Tok Kah ialah basikal Releigh dan Robinhood. Lebih ramai menggunakan basikal jenis Raleigh, termasuk basikal tua (basikal jenis besar).

Mulanya, basikal di parkir di sekitar sebuah rumah di Kampung Sungai Pagar. Dari rumah berkenaan para penduduk akan berjalan kaki pulang ke rumah masing-masing. Rumah itu terletak sekitar setengah kilometer dari jalan raya utama, Kuala Dungun ke Kuala Terengganu. Apabila jalan seterusnya boleh menggunakan basikal, para penduduk Kampung Tok Kah menjadikan sekitar rumah kedai di Kampung Bemban sebagai tempat parkir basikal. Kemudiannya, kawasan parkir beralih ke sekitar rumah Ketua Kampung Tok Kah, Encik Wan Ya, beralih lagi ke sekitar rumah Pak Da Kadir (bersebelahan sekolah) dan tempat parkir terakhir di sekitar rumah Pak Long Kedah.

Orang pertama menggunakan motorsikal ialah ayah aku, Encik Ibrahim Mamat, iaitu sekitar tahun 1970-an. Aku sempat menumpang motor itu untuk pergi sembahyang Jumaat. Best tidak terkira. Motor itu dipinjam daripada Pak Habib, mandor Sawmill kayu di pinggir Sungai Dungun. Aku tidak pasti, siapakah orang pertama membeli motosikal. Yang pasti, motorsikal mula dibeli oleh para penduduk sekitar tahun awal 1980-an.

Orang pertama yang membeli dan menggunakan kereta ialah Encik Mokhtar Ismail, iaitu sekitar pertengahan tahun 1980-an. Beliau merupakan pengusaha Mini Estet Getah Kampung Tok Kah.

Sehingga kini, terdapat pelbagai jenis kenderaan berinjin digunakan oleh penduduk Kampung Tok Kah.

Jumaat, 25 Oktober 2013

Binaan Jalan

Mulanya, jalan di kampung Tok Kah hanya jenis denai sahaja. Para penduduk berjalan kaki, dari jalan raya di Kampung Pulai Serai, ke Kampung Tok Kah. Jarak dari jalan utama ialah sekitar 7 kilometer.

Jalan ke Kampung Tok Kah banyak dibantu oleh syarikat pembalakan yang mengambil balak di belakang Kampung Tok Kah. Setahu saya, jalan lori balak dibuat sehingga ke rumah Semail. Seterusnya, para penduduk bergontong-royong membina batas-batas jalan dengan cara mencangkul tanah membina batas dan parit. Pada tempat-tempat tertentu, kawasan paya, mereka memijak pada tanah-tanah yang keras, yang berumput atau bersayat sebagai jalan perhubungan. Lazimnya, laluan itu akan jadi bertambah dalam menyebab laluannya jadi semakin lebar. Pada tempat-tempat tertentu juga, kawasan berpaya, disusun balak dan ditahan / sendal dengan kayu pacak agar balak tidak beralih. Lazimnya, balak itu akan berpusing. Jika tidak pandai meniti di atasnya akan menyebabkan jatuh dan pakaian jadi kotor. 
 
Jalan di kawasan daratan pula jenis denai yang melalui halaman dari sebuah rumah ke sebuah rumah penduduk. 
 
Sekitar tahun 1981, baharulah dibina jalan tanah merah oleh Syarikat Che Ah Kie (mungkin ejaannya salah). Antara tanah diambil bagi membina jalan ialah tanah bukit ibu aku. Aku sendiri bekerja sebagai pencatat bilangan kekerapan lori mengangkut tanah. Ibu menjual tanah dengan harga RM2.50 selori untuk tujuh kali kaut selori. Ada dua orang pegawai Jabatan Kerja Raya sebagai pemantau. Kerap juga berlaku hanya lima atau enam kali kaut selori.

Sekitar tahun 1988 atau 1989 jalan tanah merah mula ditarkan secara kasar dan sekitar tahun 1990-an baharulah jalan berkenaan ditarkan dengan cantik dan licin, sebagaimana sepatutnya. Sekitar awal tahun 2000-an, jalan ke Gong Bana hingga ke Kampung bukit Murai juga ditarkan.

Selasa, 13 Ogos 2013

Ketua-Ketua Kampung

Atas usaha dan jasa Che Din, Ketua Kampung Tok Kah pertama berjaya dilantik. Pada mulanya terdapat beberapa nama yang berminat menjadi ketua Kampung Tok Kah. Empat daripada mereka tinggal di luar Kampung Tok Kah, iaitu dua orang tinggal di Kuala Dungun, dan seorang tinggal di Kampung Bemban. 
 

Encik Jasmi
Atas permintaan wakil rakyat dan Pegawai Daerah Dungun ketika itu, mereka mahu Ketua Kampung Tok Kah dilantik daripada penduduk Kampung Tok Kah sendiri. Justeru, secara automatik, Encik Wan Ya telah dilantik sebagai Ketua Kampung Tok Kah tanpa bertanding.
 
Sebelum menjadi ketua kampung, Encik Wan Ya, atas permintaa Che Din, telah ditugaskan membantu Che Din dan melaksanakan beberapa urusan penduduk dengan kerajaan negeri Terengganu. Hal ini menyebabkan pihak kerajaan negeri dengan mudah menerima Encik Wan Ya sebagai ketua kampung.
 
Sekitar tahun 1970-an, Encik Wan Ya telah meninggal dunia kerana sakit. Penduduk sebulat suara melantik Encik Zakaria Salleh sebagai ketua kampung. Pada masa ini, Encik Zakaria Salleh tinggal di Gong Bana, hujung Kampung Tok Kah. Setelah menjadi ketua kampung, beliau telah pindah ke Kampung Tok Kah. Hal ini kerana di Gong Bana masih sukar jalan penghubungan. Perpindahan itu memudahkan beliau menjalankan urusan pentadbiran dengan cepat dan cekap.
 
Mulai September 2009, Kampung Tok Kah ketiadaan ketua kampung. Khabarnya, Encik Zakaria Salleh telah meletak jawatan disebabkan masalah peribadi. Kini Ketua Kampung Tokkah ialah Encik Jasmi.

Selasa, 30 Julai 2013

Orang Perantaraan


Semasa dalam proses meneroka, ada dua orang penduduk Kampung Tok Kah yang menjadi orang perantaraan antara penduduk dengan pihak kerajaan negeri Terengganu. Mereka berperanan mendapatkan permit meneroka tanah sehingga ke pelantikan jawatan ketua kampung.
 
Orang pertama ialah Encik Awang bin Jusuh, yang datang meneroka pada tahun 1962. Encik Awang mengutip wang penduduk untuk urusan dengan Pejabat Tanah Daerah Dungun. Satu ketika, usaha Encik Awang telah dibantah kerana tidak dapat menyelesaikan banyak urusan.

Orang kedua menjadi orang perantaraan ialah Che Din. Beliau berurusan dengan wakil rakyat, dan termasuk juga menulis surat kepada Menteri Besar Terengganu, YAB Encik Ibrahim Fikri. Di bawah urusan Che Din, banyak masalah penduduk dapat diselesaikan, termasuk melantik Ketua Kampung Tok Kah.

Rabu, 12 Jun 2013

Atap-atap Rumah


Ada lima jenis atap rumah digunakan oleh penduduk Kampung Tok Kah. Secara berurutan, pada peringkat awal, mereka menggunakan atap daun kayu. Biasanya mereka
menggunakan daun daun palas, atau bertam yang dijahit menggunakan rotas beras dibelah empat. Daun-daun itu dijahit dalam bentuk sisir.

Atap jenis kedua ialah atap getah hitam. Atap ini dijual di kedai Dungun, dalam bentuk gulungan. Untuk sebuah rumah memerlukan tiga hingga empat gulungan dan dipaku menggunakan paku payung. Jenis atap ketiga ialah atap zink. Sekitar tahun 1980-an, mereka mula menggunakan atap steh. Kini, mereka menggunakan atap bata.

Penduduk Kampung Tok Kah mula menggunakan simen untuk membuat rumah sekitar akhir 1980-an. Kebanyakannya menggunakan simen di bahagian bawah (dapur) dan kayu di bahagian atas atau dinding ibu rumah. Simen mula digunakan untuk membuat tangga dan beranda hadapan. Rumah batu sepenuhnya dibina sekitar tahun 1990-an, iaitu rumah Azmi. Beliau ialah anak Ketua Kampung, Encik Zakaria Salleh.

Rabu, 13 Mac 2013

Jenis Rumah

Para penduduk pada pasal kedua membina rumah menggunakan bahan-bahan dari hutan. Tiang dan  pelbagai rangka rumah diperbuat dari kayu bulat. Kayu-kayu itu ditebang, dibuang kulit dan direndam ke dalam parit sekitar sebulan. Tujuannya ialah menambahkan ketahanan kayu dan bagi mengelak  daripada dimakan bubuk atau kumbang.

Mereka membina rumah secara bergontong-royong. Mereka dijamu dengan nasi atau bubur kacang sahaja.

Dinding rumah diperbuat daripada kulit kayu Kapor. Kayu Kapor sebesar dua atau tiga pemeluk ditebang dengan kapak. Kulit selebar dua jengkal akan dikopak dari batangnya. Kulit kayu Kapor bergelupas. Justeru, terpaksa menggunakan ketam untuk melicinkannya. Walau bagaimanapun, ada juga yang tidak melicinkannya, dan dibiarkan sebagaimana asal.