Khamis, 13 Disember 2012

Sejarah

Berdasarkan kajian, sejarah Kampung Tok Kah terbahagi kepada dua pasal. Pasal pertama ialah sejarah nama Kampung Tok Kah. Namun,  cerita lanjutnya tidak banyak diketahui. Menurut cerita orang tua-tua, asal nama Tok Kah adalah sempena nama seorang lelaki bernama Tok Kah. Beliau berasal dari Siam, merupakan peneroka awal di Kampung Tok Kah. Tidak diketahui, mengapa dan bagaimana Tok Kah datang membuka Kampung Tok Kah. Yang pastinya, petempatan awalnya ialah di sekitar anak Sungai Dungun. Di kawasan ini terdapat banyak pokok buah-buahan seperti pelbagai jenis durian, rambutan, langsat, rambai, manggis, binjai, dan sebagainya. Tempatnya itu di kawasan pendalaman yang kini dikenali sebagai Kampung Mahsuri. Saya sendiri pernah, semasa di sekolah menengah rendah, datang memetik buah-buah tersebut, yang tidak diketahui pemilik. Sehingga kini, kebun buah-buahan itu masih ada. Namun, orang-orang kampung tidak lagi pergi memetiknya. Ia terbiar untuk makanan binatang hutan. Namun, sepanjang saya ke kebun yang terletak jauh di dalam hutan, saya tidak menemui sisa-sisa perumahan dan peralatan. Gua juga tidak saya temui.
 

Pasal kedua, pembukaan Kampung Tok Kah berlaku sekitar tahun 1962. Segerombolan rakyat Kelantan dari Daerah Bachok, dan Pasir Puteh, telah datang membuka petempatan. Tidak diketahui bilangan sebenar yang datang. Mereka diketuai oleh Awang bin Jusuh. Beliau menjadi orang tengah antara kerajaan negeri Terengganu dengan peneroka. Mereka datang membersihkan kawasan hutan, belukar dan balak, dengan menggunakan kapak dan gergasi sorong. Sejak itu, petempatan Kampung Tok Kah terus berkembang. Kini, Kampung Tok Kah telah dihuni oleh tiga generasi. Peneroka lelaki telah ramai yang meninggal atau pulang ke Kelantan. Antara yang masih ada ialah Tok Lebai Mat (Imam Haji Mat), Che Din, Pak Him Pak Da Kadir, Jusuh, Paksu Zahari, Mat Nor, Paksu Mat, Adik Awang, Pakcik Junuh, Pak Da (Imam), Pak Nuh, dan ....

1 ulasan:

  1. Datuk dan ayah saya dulu...pernah menanam padi di kg tok kah...skrg saya mendpt sebidang tanah pusaka di sana....

    BalasPadam