Selasa, 18 Mei 2021

Kawan-kawan Sekampung

 Ini gambar kenangan semasa hari mengundi - Zizan, Shukri, Azmi. Yang lain-lain tak aku ingat nama mereka. Maklumlah kita amat jarang ketemu.

Aku dan SK Tok Kah



 Aku bersekolah di SK Tok Kah dari tahun 1971 - 1976. Ada lima orang guru - Cikgu Latif, Cikgu Rahim, Ustaz Salim, Cikgu Mustafa (GB) dan seorang guru perempuan (lupa nama). Sekolah ini bertiang gantung dan kami sering bermain di bawah bangunan. Antaranya kami main lastik getah gelang, main capak biji ganjus atau main selambut di sepanjang kaki lima bersimen. Ada juga kami main kail undur-undur. Semuanya amat menyeronokkan.

Aku belajar antara satu hingga tiga subjek sehari. Paling lama masa ialah subjek lukisan - selepas rehat hingga tamat waktu persekolahan. Kami akan lukis kapal laut. Kami tidak pernah lihat kapal laut kecuali gambar dalam buku teks. Kami juga lukis pemandangan sawah - dua buah bukit dan matahari terselit antaranya, pemandangan sawah padi menguning dan beberapa ekor burung. Ada kalanya kami lukis pemandangan kampung - ada sebuah rumah, sebatang pokok kelapa berhampiran rumah, di sebelahnya ada sungai dan sampan.

Bilangan murid tidak ramai - antara enam hingga beberapa belas orang sekelas. Kelas aku hanya enam orang sajak. Wan Su selalu dapat tempat pertama peperiksaan. Aku dan Aziah bergilir-gilir antara tempat kedua atau ketiga.

Selalunya, padang sekolah kami dipenuhi tumbuhan rumput kemuncup. Menurut Wikipedia, Kemuncup (Chrysopogon aciculatus Retz) adalah sejenis rumput dari keluarga Poaceae (dulu keluarga Graminae) yang tumbuh dibanyak kawasan dan bijinya sering melekat pada seluar jika kita melaluinya. Rumput ini juga dipanggil sebagai Rumput Jarum atau dalam bahasa Inggeris sebagai Love grass atau juga dipanggil sebagai pilipiliuala. Rumput kemuncup ini mempunyai nama botani sinomim dengan Andropogon aciculatus Retz. Rumput kemuncup tumbuh di kawasan terbuka dengan renek yang mudah kita jumpa di kawasan lapang seperti di padang bola, tepi jalan, halaman rumah, dalam kebun, di padang golf dan sebagainya. Rumput ini juga merupakan rumput yang ditanam di kawasan padang bola sepak kerana ia mempunyai daya ketahanan baik serta tahan lasak. 

Pada awal tahun, kami diminta bergontong-ronyong mencabut kemuncup kerana akan diadakan sukan tahunan. Kami rasa seronok dan bertanding mencabut kemuncup paling banyak. Ibu bapa tidak pernah marah atau melarang. Hadiah pemenang acara sukan ialah bekas plastik (tupperware). 

Ada tangki air besar. Aku sering panjat dan buka paip. Kami mandi beramai-ramai di bawahnya. Ada satu paip pam di sebelah tangki air besar.

Bangunan asal SK Tok Kah ada dua. Bangunan akademik dan kantin. Kedua-duanya berada di atas bukit (tempat lebih tinggi). Kami sering juga panjat siling dan bermain-main di atasnya, antara celahan kayu.

Ada sebatang pokok sentol besar di bawah bukit. Di situ guru parkir motorsikal atau basikal. GB guna wespa, manakala Cikgu Rahim dan Cikgu Latif guna Honda dan Nonton. Ustaz Salim naik basikal. Cikgu perempuan tumpang GB. Semuanya tinggal di bandar Dungun.