Selasa, 18 Disember 2012

Pola Perumahan

Corak petempatan penduduk di Kampung Tok Kah adalah sejajar.  Asalnya, mereka membina rumah di sebelah kiri (sebelah matahari jatuh) di sepanjang jalan. Di belakang perumahan adalah hutan. Manakala, di kawasan hadapan, di sebelah kanan jalan, pula ialah sawah padi. 

Rumah di bina di atas tanah lot. Keluasan setiap lot tanah sekitar ½ - 1 hektar / ekar.

Sehingga sekarang, penduduk Kampung Tok Kah masih mengamalkan petempatan sejajar. Namun kini, mereka telah mula membina rumah di kiri dan di kanan (sebelah matahari naik) jalan.  Rumah-rumah di sebelah kanan jalan (matahari naik) dibina setelah jalan utama siap sepenuhnya (bertar).

Ahad, 16 Disember 2012

SK Tok Kah


Pada tahun 1960-an lagi, Che Din telah berusaha mendapatkan sebuah sekolah untuk generasi Kampung Tok Kah. Mulanya, pihak kerajaan tidak bersetuju kerana beranggapan tiada murid. Setelah diyakinkan, dengan menunjukkan bukti nama-nama bakal murid, baharulah pihak kerajaan bersetuju, sekiranya dapat memenuhi syarat kedua, tapak.  Atas usaha Che Din, tapak juga dapat disediakan. Maka, sekitar akhir 1960-an, dimulakan pembinaan sekolah, yang dinamakan Sekolah Kebangsaan Tok Kah. Tapak sekolah itu dibina di atas bukit. Sekolah ini terdiri daripada dua bangunan. Satu bangunan kelas yang terdiri daripada enam bilik. Dan, satu lagi bangunan, bersebelahan, ialah kantin. Di belakang kantin dibina beberapa tandas secara berasingan. Di sebelah kantin terdapat tanah lapang, kini dibina bangunan kelas, tempat perhimpunan. Sekolah asal diperbuat daripada kayu bertiang gantung dan berlantai kayu. Aku sering bermain di bawah bangunan tersebut. Malah, aku juga sering memanjat dan bermain di atas siling bangunan kantin.

Ada satu tangki air besar dan sebuah telaga di sebelahnya. Di tepi telaga itu dibina paip pam. Di bawah bukit, ada pokok setor besar. Di bawah pokok ini tempat guru-guru parkir Honda Nontan dan basikalnya. Di hadapannya pula padang permainan. Lazimnya, penuh dengan rumput kemucut. Kami sering bergontong-royong mencabut rumput kemucut.

Kini tempat-tempat itu, tempat parkir motor guru dan bersebelahan dengannya dibina satu bangunan kelas.  Kantin juga telah diubahsuai dan dijadikan bangunan kelas. Sekarang ini terdapat sekitar lima bangunan. Semua bangunan baharu diperbuat dengan simen. Malah, terdapat juga rumah guru yang dibina sekitar tahun 1990-an. Terdapat satu bangunan makmal komputer.

Sebenarnya, jumlah murid, semasa aku belajar dari 1971 – 1976, tidak sampai pun seratus orang. Cikgu membahagikan satu bilik kepada dua kelas, yang saling membelakangkan dan dihadang dengan dengan papan. Ada bilik perpustakaan. Aku sangat suka membaca komik Abu Nawas dan komik catatan pengembaraan ke angkasa. Aku suka komik Abu Nawas kerana kenakalannya. Manakala komik kedua pula ialah pada kenderaannya, iaitu kereta terbang. Ketinggian terbangnya beberapa meter sahaja dari bumi. Aku fikir ia bakal menjadi kenderaan masa depan. Namun sehingga kini, tiada orang menciptanya.

Ada enam orang guru mengajar aku. Pertama guru besar yang juga guru bahasa Inggeris. Namanya, Mustaffa Mohamad atau Mohammad Mustaffa. Kedua, ustaz Salim. Beliau satu-satunya guru yang naik basikal dari Kuala Dungun ke sekolah. Aku masih ingat pesanannya, ketika kami tamat belajar di darjah enam. Katanya, “bermainlah dengan cita-cita, jangan bermain dengan cinta.” pada masa 'tu aku tak faham. Ketiga, guru kelas dan subjek biasa. Lazimnya, satu orang guru memegang dua kelas. Antara guru yang masih aku ingat ialah Cikgu Rahim, dan Cikgu Latif. Cikgu Latif berasal dari Perak, dan khabarnya, menurut Encik Ahamad Salleh, Pensyarah di IPGM-KTB, beliau pernah menjadi Yang Berhormat (Adun).

Seingat aku, tidak banyak subjek aku belajar setiap hari. Antara satu hingga tiga subjek sahaja. Guru pun kurang rajin mengajar, kecuali Ustaz Salim. Bukan salah guru, namun keadaan pada masa itu. Kami banyak menghabiskan   masa dengan bermain. Aku belajar Sejarah (perihal sejarah tamadun), Geografi, Matematik, Bahasa Inggeris, Matematik, Lukisan dan Agama Islam. Lazimnya, subjek Lukisan paling panjang, iaitu selepas rehat sehingga bunyi loceng balik. Guru beri sehelai kertas lukisan, dan beberapa tin warna serbuk. Aku gemar melukis kapal laut (dan kawan-kawan juga) atau kereta idaman. Ada kalanya, aku lukis sawah padi, sebatang pokok kelapa. Jauh di hujungnya ada dua buah bukit dan matahari terselit di celahnya, atau kadang-kadang di atasnya.

Dalam kelas aku ada tujuh orang sahaja. Aku tidak pernah dapat nombor satu. Lazimnya, antara nombor dua atau nombor tiga, bergilir dengan Aziah Mat Soh. Nombor satu dibolot oleh Wan Su bin Wan Ya, anak Ketua Kampung.

Khamis, 13 Disember 2012

Sejarah

Berdasarkan kajian, sejarah Kampung Tok Kah terbahagi kepada dua pasal. Pasal pertama ialah sejarah nama Kampung Tok Kah. Namun,  cerita lanjutnya tidak banyak diketahui. Menurut cerita orang tua-tua, asal nama Tok Kah adalah sempena nama seorang lelaki bernama Tok Kah. Beliau berasal dari Siam, merupakan peneroka awal di Kampung Tok Kah. Tidak diketahui, mengapa dan bagaimana Tok Kah datang membuka Kampung Tok Kah. Yang pastinya, petempatan awalnya ialah di sekitar anak Sungai Dungun. Di kawasan ini terdapat banyak pokok buah-buahan seperti pelbagai jenis durian, rambutan, langsat, rambai, manggis, binjai, dan sebagainya. Tempatnya itu di kawasan pendalaman yang kini dikenali sebagai Kampung Mahsuri. Saya sendiri pernah, semasa di sekolah menengah rendah, datang memetik buah-buah tersebut, yang tidak diketahui pemilik. Sehingga kini, kebun buah-buahan itu masih ada. Namun, orang-orang kampung tidak lagi pergi memetiknya. Ia terbiar untuk makanan binatang hutan. Namun, sepanjang saya ke kebun yang terletak jauh di dalam hutan, saya tidak menemui sisa-sisa perumahan dan peralatan. Gua juga tidak saya temui.
 

Pasal kedua, pembukaan Kampung Tok Kah berlaku sekitar tahun 1962. Segerombolan rakyat Kelantan dari Daerah Bachok, dan Pasir Puteh, telah datang membuka petempatan. Tidak diketahui bilangan sebenar yang datang. Mereka diketuai oleh Awang bin Jusuh. Beliau menjadi orang tengah antara kerajaan negeri Terengganu dengan peneroka. Mereka datang membersihkan kawasan hutan, belukar dan balak, dengan menggunakan kapak dan gergasi sorong. Sejak itu, petempatan Kampung Tok Kah terus berkembang. Kini, Kampung Tok Kah telah dihuni oleh tiga generasi. Peneroka lelaki telah ramai yang meninggal atau pulang ke Kelantan. Antara yang masih ada ialah Tok Lebai Mat (Imam Haji Mat), Che Din, Pak Him Pak Da Kadir, Jusuh, Paksu Zahari, Mat Nor, Paksu Mat, Adik Awang, Pakcik Junuh, Pak Da (Imam), Pak Nuh, dan ....

Salam Pengenalan

Blog ini bertujuan memaparkan perihal hal ehwal masyarakat di Kampung Tok Kah, Dungun. Kepada mana-mana pihak yang ada maklumat (tentang apa sahaja) sekitar Kampung Tok Kah, bolehlah e-melkan kepada saya. Sebaiknya, e-melkan sekali gambar agar entrinya nampak menarik.